Make your own free website on Tripod.com
  Wawancara dengan Encik Mustapa Mansor, suami Puan Maryam:
Bermimpi Dipatuk Ular Putih Dari Belakang Di Tangan
 

Tarikh:   16hb. Julai ?2002
Jam:       5ptg
Tempat: Lobi Hotel Istana

Kami menunggu sejak 4.30 petang di lobi Hotel Istana Kuala Lumpur setelah temujanji disahkan pada jam 5.00 petang oleh En. Mustapa Mansor dan isteri beliau Pn. Mirja Martha Brachtel @ Maryam. Tepat jam 5.00 petang mereka pun tiba dan sesi wawancara terus dijalankan kerana mereka punya temujanji dengan pihak lain selepas itu.

MARUAH:
Pertama sekali, kami turut simpati dengan apa yang telah terjadi kepada Pn. Mirja, khasnya dan keluarga En. Mustapa. Banyak pihak yang menghantar email kepada kami meminta supaya kami membuat wawancara dengan pihak Encik dan Puan kerana dari pendedahan yang dibuat di laman kami terlalu singkat serta tidak jelas dari beberapa hal. Bolehkah agaknya Encik atau Puan jelaskan berkenaan dengan isu pemberhentian Puan dari ISTAC dan kaitannya dengan pengaruh ajaran Syiah terhadap diri Puan?

MUSTAPA:
Boleh tak saya mohon agar wawancara ini kita pisahkan kepada dua sesi iaitu sesi pertama dengan saya dan sesi kedua dengan isteri saya. Atau serentak tapi tempat yang berbeda!

MARUAH:
Ok…..serentak ajelah…ok..

MUSTAPA:
Terima kasih. Jika hendak saya uraikan terlalu panjang tapi saya cuba ringkaskan saja. Benar isteri saya dihentikan pada 4hb Julai tapi isu ini bukan baru bermula pada bulan Julai 2002, bahkan sudah lima bulan yang lalu iaitu sekitar bulan Februari 2002. Setelah insiden tengah hari Jumaat saya bertemu isteri saya dan dua orang pensyarah ISTAC di Pusat Bandar Damansara, Subway Café. Jauh di hati saya timbul beberapa persoalan. Pertama, apakah ini alamat dari mimpi saya di Singapura? Kerana pada hari Khamis sebelumnya saya berada di Singapura dan mendapat mimpi saya dipatuk ular putih dari belakang di tangan saya dan saya dapat membunuhnya?

Kedua, apakah ini isteri saya yang saya telah kenal dengan beliau sejak sepuluh tahun lalu? Ketiga, apakah ini pensyarah-pensyarah ISTAC yang saya sangat kagum dengan tokoh yang menjadi direktornya?..Saya rasa dari sini dulu persoalannya.

MARUAH:
Ada beberapa poin yang saya kira menarik untuk Encik jelaskan lebih mendalam. Pertama, kenapa begitu lama persoalan ini timbul dan akhirnya Puan Mirja pula yang menjadi sasaran? Apakah faktor cemburu yang menjadi isu sebenar di sebalik semua ini?

MUSTAPA:
Sememangnya saya telah berusaha untuk menyelesaikan masalah ini di kalangan yang terlibat saja sejak dari bulan Februari. Saya pernah bertemu dengan pensyarah berkenaan dan kawannya dalam satu pertemuan hasil dari beberapa email yang saya hantar kepada mereka berdua. Tapi dari pertemuan ini saya dapat menghidu sebuah lakunan dari keduanya. Bagi saya sekiranya mereka berlakon pun saya tidak hairan kerana saya telah dapat informasi terlebih dahulu dari seorang pensyarah di ISTAC tentang siapa sebenarnya Dr. Sna. Oleh kerana ia berfahaman Syiah maka sudah tentu taqiyah akan dipraktikkan dengan siapa saja apatah lagi dalam hal ini.

Saya lihat waktu itu isteri saya juga masih di sebelah mereka dan cuba menafikan semuanya penglibatan beliau dengan ajaran Syiah yang dibawa oleh Dr. Sna. (Namun penafian isteri saya ini juga sebenarnya adalah arahan dari imamnya kerana sebelum itu beliau telah meminta pandangan dari Dr. Sna dalam hal ini - diketahui setelah isteri saya membuat pengakuan). Saya juga yakin bahawa jika isteri saya sudah terpengaruh dengan Syiah sudah tentu ia juga cuba bertaqiyah dengan siapa saja. Saya amat sedar hal ini dan saya mencari jalan bagaimana saya dapat membongkar rahsia mereka.

Di hati saya, ada perasaan kasihan yang mendalam bila melihat perubahan pada isteri saya dan saya tahu dia telah dipengaruhi oleh ajaran Syiah dari Dr. Sna. Sepanjang lapan tahun perkahwinan kami saya tidak pernah melihat isteri saya cuba menipu saya atau cuba berlakon di depan saya. Saya yakin mesti ada sesuatu yang telah terjadi dari sudut fahaman, pemikiran dan nilai hidupnya.

Selepas pertemuan tersebut, saya menghantar email dengan memberi amaran bahawa jika saya dapati penafian itu suatu penipuan maka saya akan mengambil langkah seterusnya. Alhamdulillah, Allah telah membuka hati isteri saya untuk bercakap benar dan jujur tanpa paksaan dari saya atau dari siapa saja. Ada juga pihak yang tidak dapat menerima hakikat pengakuan ini tanpa paksaan dan bagaimana begitu cepat Maryam boleh disedarkan. Ada yang terus tidak mempercayainya semua ini boleh terjadi.

Saya juga hairan sebenarnya tapi itulah realiti dan itulah taufiq dari Allah. Segala-galanya terbongkar dengan izin Allah setelah hampir dua bulan dari pertemuan tersebut.

Penipuan paling ketara ialah apabila pensyarah tersebut menyatakan dia tidak pernah bertemu dengan isteri saya secara personal, cuma sekali saja, itu pun bersama dengan pelajar lain. (sambil beliau menunjukkan beberapa helai salinan email)

Penipuan kedua ialah beliau tidak pernah mengajar atau mempengaruhi Syiah kepada isteri saya sepanjang tempoh lapan bulan itu. Dua hal ini sebenarnya telah membuka mata saya bahawa beliau telah mempermainkan saya dan juga isteri saya. Lalu saya memaklumkan kepada kawannya, saya akan mengambil tindakan seterusnya seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini.

MARUAH:
Soal cemburu pula bagaimana?

MUSTAPA:
Saya yakin semua insan di dunia ini ada perasaan cemburu. Rasulullah sebagai contoh paling cemburu, tapi cemburu baginda kepada hal yang benar, iaitu mengajar sahabat agar tidak berbuat mungkar kepada Allah. Sebab itu ada juga yang cuba mengecilkan isu ini kononnya ini hanyalah isu kecil dan sangat peribadi.

Ada juga pegawai di salah sebuah jabatan yang mengatakan kepada saya begitu, lalu saya katakan jika hal ini hanya semata-mata kes cemburu maka saya tidak perlu bersusah payah membuat laporan polis, bertemu pihak ISTAC, pergi ke Kementerian Pendidikan, pergi ke JPM dan lain-lain. Jangan ajar saya untuk berbuat sesuatu yang hina kerana itu kerja yang terlalu mudah.

Namun inilah tahap pemikiran sebahagian dari kalangan kita yang hanya cuba mengumumkan semua perkara tanpa melihat lebih jauh dan menyelidik fakta sebenar. Saya tidak endahkan tanggapan mereka kerana saya lebih tahu apa yang saya buat dan saya lebih yakin dengan prinsip hidup yang saya amalkan. Kebenaran mesti ditegakkan dan kesesatan mesti ditentang walau dengan siapa saja.

Saya rasa ini bukan suatu yang terlalu istimewa tapi ini adalah asas hidup seorang Muslim, kita bukan menjadi hamba kepada suasana atau sesuatu sistem tapi kita adalah pencorak suasana. Bercakap benar, jujur dan insaf atas kesilapan adalah sifat mulia maka sekiranya isteri saya bersikap seperti itu apakah di sana saya harus syak wasangka lagi? Atau saya cuba menafikannya. Jika dibanding dengan seorang guru berfahaman Syiah yang menganggap halal untuk menipu, maka sudah tentu saya lebih yakin dengan apa yang diucapkan oleh isteri saya kerana beliau masih belum begitu kuat dengan fahaman tersebut.

Jadi bukan soal cemburu buta, tapi saya dapat melihat dengan mata saya sendiri gelagat pensyarah tersebut di depan saya. Beliau tidak mampu untuk angkat muka bahkan tunduk saja semasa pertemuan pertama itu. Dia juga kelihatan gugup bila menjawab beberapa soalan dari saya serta secara tanpa sedar dia telah mengakuinya. Walaupun dia cuba menafikannya di akhir sesi pertemuan tapi dia telah pun mengaku semasa sesi soal jawab. Dia akui bahawa dia sedar beberapa insiden sejak dari bulan September 2001. Jika dia sedar sejak dari bulan September, jadi kenapa dia terus memancing perasaan dan menerapkan fahaman tersebut sehingga bulan Februari atau sehingga saya dapat tahu dari isteri saya sendiri.

Ini suatu penipuan, fitnah dan kezaliman sekiranya dia menafikan semuanya. Dia boleh menipu seribu orang lain tapi tidak dengan seorang Mukmin sejati. Maksud saya, biasanya seorang yang menipu dia tidak akan mampu untuk berhadapan dengan orang yang ikhlas dan jujur.

Beberapa kali selepas perkara ini terbongkar, saya cuba menghubungi beliau dan mahu bersemuka dia takut dan lari mendapat perlindungan dari atasan ISTAC dan dari ibu bapanya. Pernah saya telefon beliau dari hp saya di depan ISTAC untuk bertemu secara personal. Dia berdolak-dalik dan akhirnya kawannya beritahu dia lari bertemu Prof. Naquib.

Kali kedua saya telefon beliau untuk bertemu dan saya akan datang ke rumahnya. Dengan sombong beliau menjawab jika kamu datang ke rumah “I will kick you out”. Yang lucu bila saya datang untuk bertemu beliau, yang keluar membuka pintu ialah bapanya yang sudah uzur tapi sombong juga sama seperti anaknya. Anak borek bapa rintik. Saya tunggu kalau-kalau hero dalam telefon mahu keluar. Hero yang suka tunjuk pedang Jepun pada perempuan. Mungkin pedang India tak cukup tajam.

Pernah kami pergi ke ke salah sebuah rumah di kawasan rumah beliau dan bila dia terlihat kereta saya dia terus melarikan diri. Begitulah keadaan seorang yang bersalah dia takutkan bayangnya sendiri. Jadi apa yang hendak saya cemburukan dengan orang seperti ini. Belum apa-apa dah panggil mama…. Tak ada selera nak cemburu.

MARUAH:
Saya nampak Encik emosional juga?

MUSTAPA:
Ya. Lah…itu wajar.. dah lima bulan dan di akhirnya saya pula dipersalahkan oleh ISTAC dan isteri saya diberhentikan dari ISTAC. Janganlah buat kerja diktator, sejarah telah membuktikan bahawa para diktator akhirnya tersungkur ke bumi Allah dengan penuh kehinaan. Saya hingga hari ini masih tidak faham, saya dipersalahkan kerana mendedahkan perkara ini ke pihak berwajib dan isteri saya pula dimangsakan.

Saya tidak takut dan tidak akan gentar sekiranya siapa saja menyaman saya kerana saya yakin saya benar dan saya juga yakin isteri saya bercakap benar. Ini tidak, pensyarah yang menyesatkan itu pula hantar surat dan minta wang RM 15,000 sebagai ganti rugi atas nama baiknya. Saya beritahu kepada peguamnya, kesesatan yang dilakukan oleh si pensyarah itu apakah boleh dinilai dengan wang? Tapi oleh kerana begitu rendahnya nilai dirinya maka dia cuba menilai dengan harga sebanyak itu. Isteri saya tidak akan bayar dan tidak akan tarik balik semua pengakuan yang telah dibuatnya. Kata orang Perak bio dia mati berdiri… mampuih le kamu… udah sesatkan orang minta duit pula... inilah cara penyesat zaman ini.

Zaman Rasul dulu ada Abdullah bin Saba’ maka tak heranlah sampai sekarang masih ramai lagi anak cucu dia dan ini akan terus berkembang jika tidak dihalau dari bumi Malaysia… Saya nyatakan sekali pun kami kalah di mahkamah kerana isu ini, biarlah kami diisytiharkan muflis namun nak bayar ….satu sen pun… sorry bro… inilah tabiat orang US sama seperti presidennya sombong… dan tak tahu diri awak tu menumpang… Biarkan dia nak tuntut berapa juta pun.. Sampai tua le kamu… Berita penyelewengannya akan terus didedahkan kepada umum dan biar banyak lagi surat peguamnya datang… menghabiskan setem aje yeop…. udah le tu buat keroje lain le... banyak keroje lain lagi… Daripada sokong si penyesat lebih baik… cari keroje lain bro…

MARUAH:
Makin panas nampaknya?

MUSTAPA:
Saya sebenarnya paling lambat panas tapi jika dah melampau siapa pun akan jadi panas.

MARUAH:
Oh ya! Boleh cerita sikit tentang mimpi tadi?

MUSTAPA:
Mimpi……nama lagi mimpi… mungkin ya… mungkin tidak. Tidak boleh jadi dalil... tapi kebetulan perkara itu terjadi pada hari berikutnya mungkin juga ada kebenarannya. Ular putih… macamana pun tetap ular ada bisanya… bukan bermakna ular putih tidak boleh mematuk... apatah lagi dari belakang pula… Maka ianya berbisa dan dari belakang…Ya inilah dia… kerja diam-diam tapi menyesatkan serta boleh memusnahkan. Ular itu Sna.lah. Namanya pun dekat sekali…bisa tu ajarannya, dari belakang tu strateginya. Tapi alhamdulillah akhirnya ular itu mati, saya picit-picit kepala hingga hancur. Segala perancangan… Sna akhirnya dibongkar oleh Allah… Kenapa dia tak patuk di kepala atau di tempat yang boleh membawa maut… tapi dia patuk di tangan saya… maka dengan mudah saya memicitnya. Inilah taqdir Allah. Allah maha tahu dan Allah membantu hambanya jika kita ikhlas. Ya… segalanya terbongkar dengan izin Allah.

MARUAH:
Kenapa Encik rasa terkejut dengan perubahan isteri Encik masa itu.?

MUSTAPA:
Saya tidak pernah membayangkan dia boleh jadi seperti itu kerana itulah kali pertama saya melihatnya... jadi begitu... saya juga tidak terlalu mengikut perasaan tanpa menyelidiki apa sebab yang sebenarnya. Jadi pada malam Ahad berikutnya saya…bertanya tanpa paksaan... dan beliau mula menceritakan secara asas saja... tentang perubahan dirinya.

Dari sini saya dapat tangkap pengakuan beliau amat ikhlas dan masih ada lagi yang masih dirahsiakan kerana amat ketara dia seperti mahu menutup kesalahan imamnya. Dari sini saya mula dapat membaca bahawa dia telah tersesat dan amat ta’sub kepada ajaran baru ini. Saya lihat beliau begitu mengagungkan Syiah dan imamnya iaitu Dr. Sna bukan berunsur personal tapi berunsur ketaatan kepada fahaman Syiah secara suci.

Namun tanpa beliau sedari dalam dirinya sudah terbina satu perasaan keliru dengan nilai sebelum ini yang semakin lama semakin banyak pertentangan. Dia akui juga hidupnya dalam keadaan tergantung-gantung antara hidup sebagai seorang muslimah atau sebagai seorang yang sudah tiada identiti.

Beberapa kali beliau menangis sepanjang dua bulan itu dan menyatakan bahawa ajaran Syiah telah membuatkan hidupnya jadi kosong. Asyik baca buku Syiah sehingga Al Quran tidak lagi diendahkan, Hadis Sahih ditolak kerana berbeza dengan Hadis Ahlil Bait, sahabat hanya dikenali sebagai pemain manipulasi, ijma’ tidak layak lagi, akal menjadi pusat segalanya, sombong dan cara hidup individualistik makin subur dan akhirnya dia merasa hidupnya seperti sebelum Islam.

Inilah pengakuan ikhlas beliau, saya hanya mampu mendengarkannya dan berdoa agar dia pulih semula.

MARUAH:
Apakah benar-benar dia telah bertaubat atau hanya lakonan saja?

MUSTAPA:
Allah saja yang tahu. Tapi saya dapat melihat perubahannya makin baik dan meyakinkan. Kita doakan dia istiqamah... amin…

MARUAH:
Jadi setelah beliau bertaubat dan mengaku segalanya, kenapa pula beliau dihentikan dari ISTAC?

MUSTAPA:
Saya pun tak faham... tapi saya tahu mereka marahkan saya. Saya biadab dan tidak tahu menghargai keharmonian. Saya biadab dengan orang yang sombong dan hilangkan harmoni di suasana sesat. Terserah mereka untuk menilai saya tapi saya yakin saya memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Saya bukan anti-ISTAC tapi saya sangat prihatin dengan kualiti graduan ISTAC nanti termasuk isteri saya masa itu.

Saya tidak langsung berniat untuk mengajar mereka tentang nilai atau apa saja tentang Islam kerana inilah salah satu pusat pengajian tinggi dan peradaban yang unggul di Malaysia bahkan mungkin di Asean. Siapalah saya… jika dibandingkan dengan mereka yang berada di ISTAC... jauh… sekali... tapi mungkin ada hal-hal kecil yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar maka saya datang sekadar untuk melaporkan di sana ada yang membahayakan masa depan ISTAC.

Salahkah saya jika sekadar membawa lampu suluh untuk menyuluh seorang pencuri yang cuba bersembunyi di satu sudut ruang sempit ISTAC? Jika tindakan ini dianggap biadab maka saya memohon maaf kepada semua pihak di ISTAC dan saya tidak akan dapat memenuhi permintaan semua pihak untuk saya mengubah prinsip hidup saya semata-mata untuk berlemah-lembut di depan seorang yang sombong dan zalim.

MARUAH:
Kenapa Encik tidak sangka tentang pensyarah-pensyarah itu?

MUSTAPA:
Ya…saya amat kagum dengan Prof. Naquib dan kebanyakan pensyarah di sana sangat beradab. Tapi yang ini… lain sikit… saya tertanya-tanya... apa sudah jadi dengan ISTAC? Ke mana hala tujunya yang sebenar… Apakah sekadar untuk melahirkan para ilmuan bermata satu? Sudah tentu tidak… ISTAC punya misi dan visi yang sangat jelas dan tinggi. Saya tidak juga terlalu ideal dalam hal ini, kerana mana ada manusia yang sempurna dan begitulah juga dengan sebuah institusi. Mungkin ramai juga yang opportunis tapi berselindung di sebalik ISTAC. Walau bagaimanapun ini tanda yang tidak sihat…tanda kehancuran, tanda malapetaka akan tiba jika tidak dibendung… maka dari sinilah saya berusaha memantau dari jauh dan apabila ada bukti kukuh akhirnya saya laporkan ke pihak ISTAC, JPM dan lain-lain.

MARUAH:
Mungkin masih banyak lagi yang boleh dibicarakan tapi memadailah untuk setakat ini. Insyaallah kami akan hubungi lagi. Terima kasih atas kerjasama Encik. Semoga Allah memberi pertolongan dan kejayaan kepada perjuangan yang Encik lakukan.

MUSTAPA:
Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih atas simpati semua pihak khasnya Maruah. Oh..ya, tak lupa kepada pihak Bacaria yang telah memuatkan isu ini di muka depan... saya juga mengucapkan kepada semua media yang turut mahu membantu kami walaupun ada yang dihalang oleh pihak tertentu... kerana sensitif... Jumpa lagi.

©Maruah

kembali ke laman utama